Monday, September 8, 2008

Prasekolah di sekolah rendah

Oleh Lucia John
Kerajaan sasar di setiap sekolah rendah menjelang 2010
KUCHING: Kerajaan mensasarkan setiap sekolah rendah diperuntuk dengan sebuah kelas tadika menjelang 2010, bagi memastikan lebih ramai kanak-kanak berpeluang mendapat pendidikan awal prasekolah.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber Ma-nusia dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah berkata Kementerian Pelajaran bertekad melaksanakan perkara ber-kenaan bagi mengelak lebih ramai kanak-kanak tercicir daripada mendapat pendidi-kan awal prasekolah.
“Usaha ini akan tertumpu kepada kanak-kanak di luar bandar, yang lebih berpotensi tidak mendapat pendidikan awal,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Keluarga Creative Kids 2008 di Stampark BDC, semalam.
Fatimah berkata menerusi langkah itu, kerajaan berharap dapat merapatkan jurang pendidikan antara kanak-kanak di luar bandar dan bandar.
“Bagi kita di bandar, senario adalah jauh berbeza dengan mereka di luar bandar memandangkan masih ramai kanak-kanak yang belum pandai berdikari, menyusu dan sebagainya apabila mencecah usia lima hingga enam tahun.
“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku jika mereka layak memasuki tadika dan oleh itu kita mensasarkan agar tahun 2010 menjadi nafas baru untuk semua,” ujarnya.
Terdahulu, beliau mahu setiap Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) didaftarkan dengan jabatan kebajikan masyarakat secepat mungkin bagi menjamin kualiti serta keselamatannya.
“Saya percaya di negeri ini terdapat masih banyak taska yang belum didaftarkan memandangkan ia mengambil masa yang cukup panjang untuk pihak-pihak tertentu mendapat pengesahan,” katanya yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Ekonomi Rumah Tangga dan Latihan).
Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan agar sentiasa memastikan setiap taska mendapat pengiktirafan se-patutnya daripada pihak-pihak tertentu agar tidak timbul sebarang kerumitan selepas itu.
“Ibu bapa yang dipertanggungjawabkan memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak harus memilih taska berdasarkan kelayakannya sama ada ia sudah didaftar ataupun sebaliknya, bukan semata-mata kerana bayaran bulan, lokasi serta kualitinya.
“Perkara ini amat dititikberatkan kerana kita tidak mahu orang ramai mengalami kerugian begitu sahaja,” katanya kepada pemberita.
Kira-kira 118 buah taska telah dikenal pasti di seluruh negeri dan sebilangan besar adalah di Kuching iaitu sebanyak 87 buah.

No comments: