Sunday, August 24, 2008

Tips Menjadi Deklamator

Sumbangan : Cikgu Muhd Amin
OLEH MARSLI NO
Fahami sedalam-dalamnya maksud dan makna sajak yang dibaca.
Fahami makna permukaan sajak dan makna dalaman sajak.
Makna permukaan yang difahami untuk diucap, makna dalaman sajak yang difahami untuk dibayangkan di dalam imaginasi.
Ketika di pentas, keduanya digabungkan. Ketika mengucapkan secara lisan, imaginasi diaktifkan untuk membayangkan apa yang diucapkan.
Dari gabungan keduanya, terjadilah penghayatan. Sehingga kata yang diucapkan terasa hidup dan berjiwa.
Dari gabungan keduanya juga, tiap kata yang diucap, hendaklah diucapkan sesuai dengan maksudnya. Misalnya, kata “gembira” bila diucapkan, hendaklah dalam nada yang gembira dan wajah menggambarkan ceria. Kata “duka” ketika diucapkan demikianlah juga.
Dari gabungan kedua teknik ini juga, diharapkan segala ucapan, lontaran dan tekanan nada suara, perasaan, hendaklah sesuai dengan maksud luaran dan dalaman kata-kata.
Untuk bahagian nada dan tekanan ucapan. Usahakan latihan menyebut dengan betul tangga nada solfah: do – re – mi – fah – soh – lah – ti – do. Sebut dan berlatihlah berulang-ulang. Carilah tekanan dan lenggok “lagu” yang baru dan memikat.
Untuk bahagian sebutan. Usahakanlah menjalani latihan sebutan. Latihan ini dijalani dengan cara menyebut tiap patah dan suku kata secara betul dan tepat mengikut bunyi suku katanya.
Berikutnya, berlatihlah menyebut suku kata ini dengan tepat secara berbisik. Ambil naskah sajak yang mahu dideklamasikan. Bacakan dengan sebutan suku kata yang tepat secara berbisik. Aktif dan pastikan semua bahagian rahang dan rongga di mulut digerakkan.
Terakhirnya, berlatihlah mendeklamasikannya. Seperti mana apa yang mahu dinyatakan ketika di pentas, berlatihlah dengan gaya dan lontaran suara, perasaan dan nada yang lengkap.

No comments: