Sunday, May 24, 2009

Ambil 50% guru tempatan
Oleh Jessica Jawing
Dengan separuh guru adalah anak tempatan, mereka lebih fokus tanpa berfikir untuk pulang ke kampung halaman
KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mencadangkan supaya 50 peratus daripada ambilan guru-guru pelatih di setiap negeri adalah anak tempatan.
Presidennya William Ghani Bina berkata, dengan itu mereka akan dapat mengajar dengan sepenuh tumpuan tanpa memikirkan untuk pulang ke kampung halaman.
“Selain itu, ia juga mengurangkan kos perjalanan, misalnya guru-guru yang kampung halamannya jauh untuk pulang pada hujung tahun dan juga berpindah sekolah,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Malah kata beliau, anak-anak tempatan lebih memahamai keperluan, kebudayaan, perasaan masyarakat di tempat sendiri.
“Namun untuk tujuan integrasi kita juga mengambil 50 peratus tambahan itu tadi daripada para guru dari negeri-negeri lain,” jelasnya.
Bagi jangka pendek katanya, STU menyarankan agar menggunakan pendekatan dengan memberi tumpuan kepada anak-anak Sarawak dan Sabah dalam permohonan kerjaya sebagai guru.
“Jika dilihat sekarang ini, Sabah dan Sarawak kekurangan guru dan pada tahun lepas dari Sarawak sahaja hanya 152 yang dapat mengisi jawatan ini daripada 6,167 yang memohon,” jelas beliau.
Manakala bagi jumlah permohonan di seluruh negara pula kata Ghani, daripada 108,000 yang memohon hanya 5,000 lebih yang dapat.
“Ini kerana kapasiti pengambilan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak mencukupi, justeru kita memohon kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) agar meningkatkan lagi kapasiti pengambilan ini khasnya di Sarawak,” ujar Ghani.
Beliau menambah, pihaknya turut mencadangkan agar menambah dua lagu IPG di negeri ini iaitu di Sri Aman dan Lawas, misalnya di Lawas yang boleh menghimpunkan para pelatih dari Sabah juga.
Selain itu, STU juga mencadangkan guru sandaran yang tidak terlatih tetapi telah mengajar bertahun lamanya supaya menjalani latihan berasaskan sekolah.
“Guru besar atau pengetua sekolah perlu diberi kuasa untuk melihat guru sandaran yang tidak terlatih yang berminat mengajar dan ingin mengajar menyertai latihan sedemikian,” katanya.
Misalnya kata Ghani, mereka boleh menghadiri kursus atau belajar sepenuh masa pada waktu cuti di IPG dan waktu sekolah dilawat oleh pensyarah daripada IPG yang berdekatan.
“Ia satu cara jangka pendek untuk menampung keperluan guru di Sabah dan Sarawak,” kata Ghani.
Terdahulu dalam ucapanya dalam Majlis Penyampaian Anugerah Insentif Pendidikan STU, Ghani berkata STU menyarankan kepada KPM agar menyediakan satu panduan yang jelas dan terperinci untuk setiap peringkat sekolah.
“Misalnya kerja mendidik di peringkat prasekolah dan sekolah rendah supaya menyediakan mereka jadi pelajar dan mengapa perlu belajar,” katanya.
Di peringkat sekolah menengah pula kata beliau kerja mengajar atau belajar bagi membimbing dan menyediakan mereka supaya memahami dan mengamal pelajaran manakala kerja belajar dan mengkaji di peringkat tingkatan enam, matrikulasi dan universiti.
Ghani yakin pendekatan seperti itu juga menuntut guru-guru diberi latihan khusus untuk menyediakan mereka sesuai dengan proses mendidik, mengajar dan melatih pelajar-pelajar.
“Setiap guru juga seharusnya memiliki pengkhususan khas peringkat diploma dalam bidang-bidang tertentu selain ijazah atau diploma pendidikan.
“STU juga mencadangkan supaya Pendidikan Jasmani Kesihatan ditukar kepada Pendidikan Jasmani Sukan/Olahraga,” ujar beliau.
Ini kerana katanya, kesihatan sudahpun ada dan boleh dipelajari dalam mata pelajaran Sains, Moral dan Sivik dan penekanan kepada sukan dan permainan dalam mata pelajaran akan meningkatkan lagi kemampuan dan minat para pelajar dan boleh melonjakkan mutu sukan negara.
“Selain itu jurulatih khas sukan perlu ada di sekolah untuk lebih menjamin penglibatan pelajar dalam bidang sukan dan olahraga dengan berkesan.
Pendekatan ini membolehkan sekolah menghasilkan olahragawan dan olahragawati bertaraf dunia dalam jangka masa panjang,” kata beliau.
Ia juga selaras dengan sasaran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan sukan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Yong Khoon Seng.
Borneo Post 24 May 2009