Wednesday, December 17, 2008

Rombakan subjek akademik
Oleh Mohamed Farid Nohmfarid@bharian.com.my

Ilmu komunikasi pelajaran berteras kesenian diperkenal di sekolah rendah KUALA LUMPUR: Beberapa mata pelajaran bersifat akademik di sekolah rendah akan digugurkan dan digantikan subjek baru yang memberi penekanan terhadap latihan amali selaras dengan transformasi sistem pendidikan yang akan dilaksanakan mulai 2010. Mata pelajaran baru yang akan diperkenalkan termasuk komunikasi dan subjek berteras kesenian, seperti drama serta tarian.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian bagaimanapun belum memuktamadkan mata pelajaran yang akan digugurkan kerana kajian mengenainya masih dijalankan. "Ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Langkah memperkenalkan subjek baru bersifat praktikal ini bertujuan menilai kebolehan pelajar secara lebih menyeluruh serta adil dan bukannya berdasarkan peperiksaan semata-mata. "Ia bagi menyamaratakan peluang antara pelajar bandar dan luar bandar mencapai kecemerlangan lebih seimbang, selain memastikan pelajar seronok mengikuti pembelajaran serta tidak dibebani pelajaran tidak perlu," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Saturday, December 6, 2008

PENDIDIKAN DI RUMAH

Pendidikan di rumah
HOMESCHOOLING sepatutnya menyeronokkan dan tidak memberi tekanan kepada anak-anak.
PENDIDIKAN di rumah atau homeschooling merupakan satu kaedah menarik untuk berdampingan dengan anak. Pada masa yang sama, ia membantu membentuk keperibadian anak.
Selain itu, ia juga membolehkan anda merancang pendidikan mereka mengikut peribadi, gaya hidup dan kepercayaan anda.
Mengikuti program homeschooling turut memberi anda dan anak rasa selamat sementara peluang mengenali orang dan meneroka kawasan di sekeliling mereka.
Dengan membolehkan pendidikan anak disesuaikan mengikut faktor-faktor yang disebutkan, anda dan anak boleh membina pembelajaran sepanjang hayat.
Apakah langkah-langkah yang boleh diambil?
* Bersedia
Sedarlah bahawa anda perlu menghabiskan masa untuk anak setiap hari. Selaku penjaga rasmi kepada anak, anda dan suami perlu bertanggungjawab terhadap hala tuju, keperluan dan keterperincian jenis pendidikan yang dipilih. Ini adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh diremehkan.
* Gaya pengajaran
Buat penilaian mengapa anda memilih homeschooling. Apakah definisi anda tentang pendidikan yang baik? Bagaimanakah gaya pembelajaran terbaik anak anda? Soalan-soalan ini boleh membantu anda menentukan pendekatan yang perlu diambil untuk mewujudkan suasana pembelajaran terbaik untuk anda dan anak. Antara kaedah homeschooling berbeza termasuk homeschooling klasik, pembelajaran mengikut unit, kaedah Charlotte Mason dan Montessori.
* Rancang kurikulum
Kepelbagaian bahan dan kaedah homeschooling sedia ada mungkin membuatkan ibu bapa pening kepala.
Anda boleh mendapatkan idea menerusi pelbagai sumber seperti perpustakaan atau kedai-kedai buku. Sumber-sumber ini menyediakan maklumat tentang keberkesanan jenis homeschooling, kurikulum dan pengalaman tenaga pengajar. Alternatif lain adalah menggunakan kemudahan Internet.
* Sokongan kumpulan
Anda boleh berkumpul dengan ahli-ahli organisasi atau kumpulan yang menyokong program ini.
* Pastikan kesediaan anak
Terangkan kepada anak tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Homeschooling sepatutnya menyeronokkan dan tidak memberi anak-anak tekanan.
* Berikan masa untuk sesuaikan diri
Anak-anak yang lebih dewasa dan terpaksa meninggalkan sistem pendidikan standard bagi memberi laluan kepada homeschooling memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
* Rancang hari anda
Jika anda memilih untuk mempunyai suasana pendidikan homeschooling yang lebih formal, bersedialah mengumpul bahan-bahan atau buku teks yang diperlukan. Wujudkan sebuah bilik khas untuk mengukuhkan persekitaran pembelajaran.
* Kebun sebagai pendidikan
Pendidikan tidak semestinya sesuatu yang kompleks. Aktiviti seperti berkebun, memasak, menjahit, projek-projek bercirikan sains, mendaki bukit, menyayangi haiwan peliharaan atau membaiki peralatan rumah adalah contoh terbaik.
* Rekodkan setiap hasil kerja anak
Menyimpan hasil kerja anak adalah satu cara untuk menilai proses perkembangan anak.
* Nilai perkembangan anak
Penilaian ke atas perkembangan anak juga bermakna melihat bagaimana proses tersebut memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain.

Friday, December 5, 2008

Anak anda mengambil dadah?
MASALAH penagihan merupakan penyakit yang dihadapi oleh semua golongan masyarakat, tidak kira bangsa, kekayaan atau agama. Artikel ini membincangkan kaedah untuk mengenal pasti sama ada anak anda terbabit dalam najis dadah.
Anda duduk sendirian di ruang tamu, melihat masa berlalu begitu sahaja, menunggu dengan resah di depan pintu kerana anak remaja masih tiada di rumah sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.
Akhirnya, selepas dua jam, barulah kelibat anak anda kelihatan, anda berasa marah dan pada masa sama berasa lega. Hati anda berdegup kencang apabila menyedari anak matanya kelihatan membesar dan percakapannya yang tidak teratur. Anda tersentak dan terperanjat apabila menyedari bahawa anak remaja mengambil najis dadah! Apa yang anda ingin lakukan?
Mungkin mimpi ngeri dalam kehidupan ibu bapa apabila mengetahui anak-anak mereka mengambil najis dadah. Pelbagai emosi timbul, sedih, menyesal, malu, tidak percaya, marah dan sengsara. Sebagai ibu bapa, adalah tanggungjawab anda untuk melindungi anak daripada sebarang masalah, tetapi masalah ketagihan dan penggunaan najis dadah sesuatu yang berat dan sukar ditangani.
Presiden Persatuan Ketagihan Ubat Malaysia (AMAM), Dr. Steven Chow menjelaskan sudah tiba masanya untuk bersikap proaktif jika terdapat tanda amaran kemungkinan anak perempuan atau lelaki anda mengambil atau mencuba dadah.
“Jika anda berhadapan dengan penggunaan najis dadah, terdapat peluang baik untuk anda membantu anak. Jangan membuang masa dengan menyembunyikan masalah ini,” tegasnya.
l Ketahui Kedudukan Anda
Fikir mengenai kedudukan anda dalam penggunaan bahan yang mengkhayalkan ini. Anda mungkin pernah mengambil alkohol atau menghisap rokok dan mungkin berasa hipokrit untuk meminta anak anda supaya tidak melakukan perkara yang sama.
Tetapi perlu diingat bahawa jika seorang remaja mengambil alkohol atau dadah lebih awal, mereka lebih berkemungkinan akan menghadapi masalah ketagihan kelak. Sebagai ibu bapa, maklumkan kepada anak bahawa anda tidak mahu mereka menggunakan dadah, dan berikan alasan-alasan yang boleh diterima dan bertanggungjawab. Remaja memerlukan ibu bapa, bukannya lebih kepada seorang kawan.
Ramai ibu bapa yang khuatir anak mereka mempunyai lebih maklumat mengenai dadah berbanding mereka. Luangkan lebih masa untuk mempelajari mengenai dadah yang biasa disalahgunakan kini, kesannya terhadap kesihatan dan kehidupan penagih, serta program rawatan yang terdapat di dalam komuniti anda.
Sebenarnya, anak anda berkemungkinan dipaksa untuk mengambil dadah tanpa mengetahui fakta mengenainya dan anda perlulah bersedia untuk menjawab segala persoalan yang dikemukakan oleh mereka.
l Tunjukkan anda mengambil berat
Sebagai andaian, anak remaja anda mengambil najis dadah atau alkohol, tunggu sehingga anak anda tidak mabuk dan telah sedar sepenuhnya untuk berbincang, daripada berhadapan dengannya dalam kemarahan. Pendekatan awal terhadap anak anda mestilah berasaskan rasa prihatin dan mengambil berat, bukannya membenci.
Jangan nyatakan kepada anak anda bahawa mereka tidak berguna dan memalukan. Ini hanya akan meminggirkan lagi mereka. Anda perlu memaklumkan kepada mereka mengenai perubahan kelakuan yang anda sedari dan mengapa anda berasa bimbang. Gunakanlah perkataan seperti ‘sayang’, ‘prihatin’ atau ‘bimbang’ dan tunjukkan dengan sejelas-jelasnya bahawa anda tidak akan melupakan masalah tersebut sehinggalah ia dapat ditangani.
Jika anak anda marah dan bersikap mempertahankan diri, janganlah terasa hati. Reaksi anak anda bertujuan untuk meminimakan betapa besar masalah tersebut. Jangan lindungi anak anda. Jika dia mengalami masalah, biarkan dia menghadapi kesannya.
l Batasan yang jelas
Tanpa ragu-ragu lagi, beritahu anak anda bahawa anda tidak akan bertoleransi terhadap sebarang penggunaan alkohol dan dadah. Anda perlu mengehadkan keistimewaan untuk keluar pada waktu malam hujung minggu, yang kebanyakannya merupakan waktu mereka berada dalam situasi berkaitan dadah atau alkohol, seperti parti atau perjumpaan bersama rakan.
Anda juga mungkin perlu meminta mereka menggunakan masa terluang untuk menghadiri kelas pendidikan alkohol atau dadah, serta menyertai perjumpaan AA atau sesi terapi kumpulan untuk penagih dadah. Anak anda mungkin cuba menyakinkan ada bahawa dia tidak mempunyai masalah alkohol dan tidak perlu dikawal.
Inilah yang anda inginkan! Anda boleh meminta mereka membuktikan boleh bersih dan menjauhi daripada najis dadah untuk satu tempoh masa yang tertentu. Jika anak anda menghormati dan berjanji memenuhi perjanjian ini, keistimewaannya akan diberikan semula. Jika tidak, anda mungkin perlu memutuskan jenis program rawatan yang terbaik untuknya.
Jangan berhadapan dengan anak anda ketika mereka mabuk atau khayal dengan najis dadah, kerana mereka tidak mungkin memahami perbincangan secara rasional. Jika anda memberi tekanan terhadap perkara ini, anda berkemungkinan akan menyebabkan pertengkaran yang sia-sia dan menyesalinya selepas itu.
Sudah tentu anak anda berkemungkinan tidak akan menghiraukan had yang ditetapkan anda dengan sengaja. Bagaimana jika anak anda mengatakan anda tidak boleh mengawal dan mengarahkannya?
Jika anak anda menolak untuk dikurung atau mematuhi peraturan yang ditetapkan, jangan hiraukan ugutannya. Mungkin bantahannya hanyalah kata-kata dan hanya untuk menunjukkan kemarahan terhadap anda, dan mungkin di dalam hati tetap menghormati kuasa anda.
Tetapi jika anak anda terus melakukan aktiviti haram tersebut sehingga mengakibatkan mereka berani mencuba dan mencabar anda, anda perlu menunjukkan bahawa anda serius dengan terus ke peringkat atau tindakan yang lebih keras .
l Pantau dan teliti perlakuan
Jika anda cuba untuk membantu anak supaya menjauhi dadah, anda perlu memerhati dengan teliti aktiviti-aktiviti mereka. Ini bermakna anda perlu membuat beberapa pengorbanan.
Sebagai permulaan, tetapkan perintah berkurung. Pastikan anda berjaga apabila mereka berada di rumah dan periksa mereka sebelum mereka tidur. Anda akan dapat memerhati sama ada mereka bersih dan tidak khayal. Mungkin mereka tidak suka, tetapi lama-kelamaan mereka akan biasa dengan keadaan ini.
Cuba periksa dengan ibu bapa kepada rakan anak anda untuk mengetahui apa yang mereka ketahui. Tanya bagaimana kelakuan anak mereka di rumah. Jika ibu bapa ini bimbang mengenai kelakuan kawan anak anda, berkumpullah dan buatlah rancangan untuk mengehadkan bagaimana dan di mana anak remaja anda sepatutnya menghabiskan masa mereka.
Yang terakhir, periksa secara rawak untuk mengetahui di mana mereka pada satu-satu masa dan adakah seperti yang mereka maklumkan kepada anda. Ini bermakna memeriksa kereta mereka sama ada ia berada di rumah rakan mereka atau singgah di panggung wayang mahupun restoran bagi memastikan mereka benar-benar berada di sana. Pemantauan ini sesungguhnya akan menjengkelkan anak remaja anda, tetapi anda perlu mengingatkan mereka bahawa prestasi mereka pada masa lalu telah menyebabkan hal ini.
Apabila mereka memperoleh semula kepercayaan anda, anda boleh memberhentikan penyiasatan yang terperinci dan meluas ini. Apabila anda memeriksa keadaan mereka, cuba bertindak dengan bijak dan dengan rasa hormat dan tidak perlu memburukkan dan memalukan mereka. Cuba rapatkan diri dengan anak dengan meningkatkan pergaulan harian dan membiasakan mereka dengan rutin memaklumkan apa yang berlaku kepada anda.
l Ujian dadah
Ujian dadah boleh menjadi berguna jika anda khuatir anak anda menyembunyikan sesuatu daripada anda. Sebagai contoh, anda boleh membuat ujian yang efektif untuk dadah seperti ganja bagi anak yang pernah mencuba atau dikhuatiri kembali menggunakannya.
Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menghubungi pihak berwajib dan mengaturkan supaya sampel air kencing anak anda diambil, dan keputusan makmal dalam masa beberapa hari sahaja. Maklumkan kepada anak anda yang langkah tersebut diambil sebagai tindakan sewajarnya untuk membantu mengubah perlakuan mereka (bagi yang menagih).
Jelaskan kepada mereka bahawa pengambilan dadah secara mudahnya akan menjadi satu tabiat dan mudah menjadi ketagih. Malah jika anak anda secara jujur cuba berhenti mengambil dadah, dia mungkin akan gagal beberapa kali dalam usaha untuk berhenti.
Ujian dadah akan menunjukkan situasi sebenar, dan anak anda boleh bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka. Jika mereka tidak mahu mengambil ujian dadah, beritahu mereka yang anda akan memberi andaian bahawa mereka menggunakan dadah dan bakal mengambil tindakan bersesuaian.
l Mendapatkan bantuan awal
Jika masalah dadah ini serius, cuba pertimbangkan untuk menggunakan bantuan pihak luar dalam membantu anda dan anak menangani masalah tersebut. Ini merupakan langkah yang sukar diambil bagi kebanyakan ibu bapa, tetapi kadang- kadang anda perlu mendapatkan sokongan daripada pihak lain bagi menentang penyalahgunaan dadah. Dalam beberapa kes, masalah ini mungkin terlampau besar untuk anda hadapi dengan sendiri.
Mengendalikan anak yang merupakan penagih dadah yang serius merupakan situasi yang sangat sukar dan menjadikan rumah anda seperti neraka yang dipenuhi penipuan, mungkir janji, pergaduhan, kebimbangan berterusan dan keganasan tanpa penyelesaian yang jelas. Namun, ketahuilah bahawa terdapat bantuan di luar sana, termasuklah program-program rawatan, kaunseling, kumpulan bantuan persendirian dan agensi penguatkuasaan undang-undang yang boleh meringankan beban anda.
Terdapat ramai lagi ibu bapa lain yang telah berjaya membantu anak mereka dalam situasi serupa. Bukti perubatan kini menunjukkan penagihan dadah merupakan penyakit yang boleh dirawat dan penagih boleh memperoleh kehidupan mereka semula dan meneruskan kehidupan untuk menjadi manusia yang sihat dan bebas pergantungan terhadap dadah .
Seperti juga penyakit-penyakit lain, lebih awal ketagihan dadah dikesan, lebih besar peluang untuk pemulihan dalam jangka masa panjang.

Thursday, December 4, 2008

Ajar Sains, Matematik dalam BM – Rahman
KUCHING 12 Nov. – Tun Abdul Rahman Yaakob berkata kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik diajar dalam Bahasa Inggeris (BI).
Bekas Menteri Pelajaran itu yang bertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pada tahun 1970, berkata Bahasa Malaysia patut dikembalikan menjadi bahasa pengantar bagi meningkatkan peranan bahasa tersebut dalam sistem pendidikan negara.
“BM akan dipinggirkan, tak patut jika (pengajaran dalam BI) diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Wacana Ilmu: Pembangunan Pendidikan Di Sarawak, hari ini.
Abdul Rahman berkata, isu yang membabitkan pendidikan negara perlu diserahkan kepada pakar pendidikan untuk merancang sementara tugas ahli politik adalah menerima segala cadangan sebelum sesuatu dasar pendidikan diperkenal dan dilaksanakan.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak dari 1970 hingga 1981 dan Yang Dipertua Negeri Sarawak selama lima tahun bermula 1981, berkata sekiranya sesuatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia mungkin gagal mencapai objektif yang dikehendaki.
Semasa ceramahnya yang dianjurkan Institut Aminudin Baki, Abdul Rahman berkata, tindakan menggunakan BI merupakan tindakan mundur ke belakang dan bukan ke depan.

STU MEMBERS:

TUN MAHATHIR SAID ENGLISH SHOULD BE USED IN PPSMI, TUN RAHMAN PREFERED BM

SO BOTHERS AND SISTERS, ANY COMMENTS?

AJAR SUBJEK TEKNIK, VOKASIONAL DR TING. 1

Ajar subjek Teknik, Vokasional dari Ting. 1
Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
PORT DICKSON 25 Nov. - Mata pelajaran Teknik dan Vokasional akan diajar bermula daripada tingkatan satu hingga tingkatan lima di sekolah menengah teknik di seluruh negara menjelang 2010.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, sebelum ini, mata pelajaran berkenaan hanya diajar kepada pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah aliran tersebut.
Menurut beliau, langkah memperkenalkan mata pelajaran itu di peringkat awal lagi adalah untuk membolehkan para pelajar menyalurkan kreativiti selain menanamkan minat terhadap bidang yang mereka ingin ceburi.
''Kementerian kini bersiap sedia untuk memperlengkapkan tenaga pengajar selain meningkatkan lagi beberapa infrastruktur asas bagi melaksanakan program teknik dan vokasional,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Guru-Guru Vokasional dan Kemahiran 2008 di sini malam tadi.
Katanya lagi, menjelang tahun depan, pihaknya berharap segala keperluan pelajar dapat disediakan dengan teratur kerana ia merupakan satu agenda di bawah Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional di Kementerian Pelajaran.
''Kesemua guru yang terlibat akan diberi latihan berasaskan kecekapan. Setakat ini, seramai 300 guru telah mengikutinya dan ia akan diperluaskan bukan sahaja melibatkan tenaga pengajar di sekolah teknik, malah meliputi guru-guru di sekolah teknik harian,'' jelas beliau.
Selaras dengan pelaksanaan itu, Razali memberitahu, pembelajaran dalam kedua-dua bidang berkenaan juga akan dilanjutkan bagi program matrikulasi atau diploma sebagai satu langkah bagi membolehkan para pelajar melanjutkan pelajaran mereka pada tahap tertinggi.
Beliau berkata, langkah berkenaan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah disiplin di kalangan pelajar memandangkan ia memenuhi kehendak mereka yang lebih cenderung ke arah bidang-bidang kemahiran serta praktikal.
''Aktiviti-aktiviti seperti ini sekurang-kurangnya dapat memberikan satu kepuasan kepada mereka yang lebih berminat ke arah bidang-bidang seumpama itu,'' katanya.
Ilmu terhad jika tidak dalami bahasa Inggeris - Dr. M
KUALA LUMPUR 25 Nov. - Rakyat Malaysia dikhuatiri hanya akan menerima ilmu yang terhad jika tidak mempelajari bahasa Inggeris yang kini menjadi bahasa ilmu di seluruh dunia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, keadaan yang sama akan berlaku jika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak diteruskan di kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Beliau berkata, sumber-sumber mengenai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris terhasil begitu pantas dan masyarakat tidak mempunyai pilihan selain menggunakan bahasa itu untuk mendapatkan ilmu berkaitan kedua-dua bidang itu.
"Hari ini penyelidikan dan kertas kajian dalam bidang-bidang itu dihasilkan dengan begitu pantas dan kita sudah tiada masa untuk menterjemahkannya kalau tidak kita akan ketinggalan.
"Satu pilihan untuk kita tidak ditinggalkan adalah menggunakan sumber sedia ada walaupun ia dalam bahasa Inggeris. Oleh itu kita perlu memahirkan diri kita mendalami bahasa itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama Program Bahasa Inggeris dan Asia: Persidangan Antarabangsa Pertama Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, memberi penekanan terhadap mendalami bahasa Inggeris tidak bermakna masyarakat terpaksa meminggir atau melupakan bahasa Melayu.
"Apabila kita menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di negara ini, tidak bermakna kita sebagai rakyat Malaysia tidak lagi patriotik atau hilang kerakyatan kita.
"Adalah tidak adil kepada generasi kita untuk menyekat mereka daripada menuntut bahasa Inggeris apabila kita sendiri sudah berjaya menuntut dan mendalaminya sebelum mereka," katanya.
Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, beliau tiada kuasa untuk menghalang sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lagi PPSMI.
"Saya nak buat macam mana lagi, saya bukan berkuasa lagi. Saya sudah pertahankan (PPSMI) sebelum ini," katanya.

Tuesday, December 2, 2008

PANDUAN SINGKAT SMS BERBAHASA MELAYU

Panduan Singkatan SMS Berbahasa Melayu[]
Penggunaan bahasa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang tidak terkawal dan sewenang-wenang oleh pengguna SMS, terutamanya dalam SMS yang disiarkan di layar televisyen telah melahirkan kerisauan kepada ahli bahasa kerana gejala ini boleh memberikan kesan terhadap perkembangan bahasa Melayu.Atas kesedaran tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil inisiatif menganjurkan “Seminar Penyelidikan: Perkembangan dan Pengaruh SMS Terhadap Bahasa Melayu.” Salah satu daripada usul yang dikemukakan dalam seminar tersebut ialah DBP perlu menerbitkan satu panduan penggunaan bahasa atau singkatan SMS yang standard.Sehubungan itu, Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP telah diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan satu kajian lanjutan terhadap singkatan SMS dan seterusnya menerbitkan risalah Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu. Secara keseluruhannya, risalah setebal 35 halaman ini disusun dalam tiga bab utama yang mengandungi huraian tentang sejarah awal penggunaan SMS, cara-cara pembentukan dan penulisan singkatan, serta aspek-aspek semantik dalam singkatan, seperti homograf, sinonim, dan polisemi.Risalah ini diharapkan dapat dijadikan panduan dalam penulisan SMS yang standard terutamanya untuk SMS yang digunakan dalam situasi atau urusan rasmi (se perti untuk menyampaikan maklumat rasmi kepada pihak tertentu, baik kerajaan mahupun swasta). Kepentingan penggunaan SMS dalam situasi rasmi sememangnya tidak boleh dinafikan lagi kerana maklumat dapat disampaikan dengan pantas dalam masa yang sangat singkat. Maklumat itu juga dapat disimpan untuk kegunaan tertentu.Selain itu, risalah ini juga diharapkan dapat dijadikan panduan dalam penapisan bahasa SMS yang akan disiarkan dalam siaran televisyen, seperti melalui paparan mesej gerak perlahan atau mesej rerangkak.Bagi yang berminat untuk mendapat risalah edaran percuma ini, bolehlah berhubung dengan Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa melalui alamat Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Bahasa, Tingkat 24, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, atau emel: selidik@dbp.gov.my.

PPSMI: KE MANAKAH SELEPAS UPSR 2008

Bicara Karyawan: PPSMI: Ke Manakah Selepas UPSR 2008?[Oleh Datuk A Aziz Deraman]
PENULIS tergerak hati untuk menulis tajuk ini setelah membaca satu berita BERNAMA yang memetik kata-kata Tun Abdul Rahman Yaakub pada 12 November 2008 dalam Wacana Ilmu Pembangunan Pendidikan di Sarawak, di Kuching. Menurut beliau, kedudukan Bahasa Malaysia (BM) akan terus terpinggir sekiranya subjek Sains dan Matematik terus diajar dalam Bahasa Inggeris (BI). PandanganTun ini tidak harus dipandang ringan. Pada 13 November pula, sehari selepasnya, keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dikeluarkan dan YB Menteri Pelajaran menegaskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak gagal. Kedua-duanya memerlukan renungan kita bersama.Kenyataan Tun Abdul Rahman sangat menarik perhatian penulis atas beberapa sebab. Pertama, beliau merupakan mantan MenteriPelajaran yangbertanggungjawab melaksanakan sistem pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu pada tahun 1970, yakni suatu penegasan semula dari Penyata Razak, Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kedua, pandangan beliau yang amat jelas bahawa sekiranya se suatu keputusan berkaitan sistem pendidikan negara dibuat oleh golongan bukan benar-benar pakar dalam bidang tersebut, ia akan gagal mencapai objektifnya. Tun Abdul Rahman, seorang ahli politik veteran, berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, bekas Ketua Menteri Sarawak (1970-1981) dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak (1981-1986). Maknanya pandangan beliau itu bukannya datang dari sebarang orang, dan ada keikhlasannya.Sejak dilaksanakan pada tahun 2003 yang lalu, isu PPSMI merupakan isu hangat yang tidak bertepi. Di sana sini ada sahaja pandangan dan pendapat yang menyokong atau membantahnya mengikut alasan masing-masing. Barubaru ini telah berlangsung siri persidangan meja bulat anjuran Kementerian Pelajaran bertempat di Putrajaya sebagai usaha menghimpunkan profesional pendidikan dari luar Kementerian ke arah mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan isu bahasa Inggeris sebagai pengantarnya. Kenyataan pimpinan sudah kedengaran tetapi satu pe ngumuman keputusan yang tegas belum lagi dibuat, mungkin akan bergantung kepada kajian terhadap keputusan UPSR tahun ini.Isu asal kenapa PPSMI diperkenalkan adalah akibat lemahnya penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Pelajar Melayu dan bumiputera khususnya dikatakan tidak berupaya berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Inggeris (BI), lalu dicari jalannya dengan menjadikan BI sebagai alat pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Kelemahan BI itu pernah dikaitkan dengan peristiwa seorang di plomat muda di luar negeri yang tidak fasih berbahasa Inggeris dan seorang jurutera yang tidak berupaya menyampaikan satu taklimat projek pembangunan dengan sempurna. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi serta cabaran globalisasi, adalah juga alasan yang menyebabkan keputusan dibuat bagi menukarkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik daripada bahasa Melayu ke BI. Selain itu ada pula sokongan kuat sekumpulan elit Melayu dan korporat yang berkepentingan, meskipun mereka bukanlah pakar pendidikan sebenar.Pelaksanaan PPSMI pada pendapat tokoh-tokoh bahasa adalah tidak tepat bagi mengatasi kelemahan penguasaan BI kerana ia menunjukkan lain yang luka lain yang dibebat. Penyakit lain ubatnya lain. Mereka mempersoalkan sepatutnya kelemahan BI itu diperbaiki dan dipertingkatkan kaedahnya, sedangkan Sains dan Matematik adalah suatu bidang ilmu. Ilmu hendaklah disampaikan dalam bahasa sendiri, apalagi pada usia kanak-kanak. Apakah sukar sangat subjek berkenaan diperoleh atau diajar melalui bahasa sendiri? Penguasaan ilmu dengan menggunakan BI akan mematikan bahasa negara sebagai bahasa rasmi dan kemajuan masa depan tamadun bangsa. Perkara ini sudah berkali-kali dinyatakan oleh para pejuang dan cendekiawan.Golongan elit tertentu, korporat dan pedagang melihat kepentingan BI dalam zaman globalisasi ini semacam menyamakan penguasaan BI dengan aspek PPSMI. Mereka menyokong dan mempertahankannya tanpa alasan dan manfaat akademik yang kukuh, sedangkan hal pendidikan bukanlah bidang mereka. Para pejuang dan cendekiawan tidak pernah menolak keperluan bangsa kita menguasai BI dengan baik dan cemerlang, lebih-lebih lagi mereka yang berkepentingan dalam komunikasi global.Isu Sains dan Matematik adalah isu memperoleh ilmu. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik yang dilakukan dalam BI itu boleh membawa mudarat yang berpanjangan. Kajian telah pun dibuat oleh penyelidik tertentu dan institusi berkenaan. Panduan mencari keputusan sudah ada. Penulis sendiri berpengalaman melihat bagaimana sekelompok para pelajar sekolah rendah di luar bandar dan pedalaman, di tahap enam tidak tahu membaca. Penulis semasa berkhidmat di Kementerian Pendidikan (1993-1994) menjelajah ke serata penjuru negara kerana tugas-tugas pembangunan dan bekalan. Di daerah-daerah pedalaman itu mungkin kira-kira 10% hingga 15% pelajar berkenaan tidak tahu membaca, itu pun dalam bahasa Melayu. Sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak masih daif infrastrukturnya, kekurangan bekalan air dan elektrik. Mungkin itu bukan alasan yang tidak diterima, tetapi jurang digital bandarluar bandar akan terus melebar.Kami dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diketuai Datuk A. Rahim Bakar, Pengerusi Lembaga Pengelola ketika itu mengunjungi Tun Dr. Mahathir, pada 14 September 2002 di Putrajaya, mengemukakan pelbagai alasan pendidikan dan kebahasaan membantah dasar yang mahu beliau perkenalkan ini. Delegasi kami selain saya selaku Ketua Pengarah DBP pada masa itu, adalah antaranya Tan Sri Kamarul Ariffin, pakar Sains dan Matematik, Prof. Dr. Shaharir Mohd Zain, Dr. Awang Sariyan, Prof. Dr. Mohd Noor Salleh. Bermacam-macam hujah yang dibentangkan oleh pakarpakar ini dan DBP sebagai institusi kebahasaan, dari aspek kelemahan P&P Bahasa Inggeris, pedagogi, tradisi keilmuan, masa depan peradaban bangsa dan sebagainya. Alasan Tun pada waktu itu adalah kerana perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkembang pesat. Kepesatan itu berlaku dalam BI.Seawal 2002, bantahan dan teguran daripada kalangan para pejuang bahasa, pemikir, budayawan, sarjana dan pendidik. Mereka yakin kelemahan penguasaan BI patut diperbaiki melalui aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa itu bukan dengan mengorbankan subjek yang begitu penting. Sebenarnya masalah penguasaan Bahasa Inggeris ada kaitannya dengan kaedah pengajaran dan pembelajarannya. Isunya adalah keupayaan mempelajari, menguasai dan menggunakan BI dengan baik. Sesungguhnya tidak ada seorang pun pejuang bahasa menentang pembelajaran Bahasa Inggeris. Bahkan mereka mahukan beberapa bahasa utama dunia ikut diajarkan. Soalnya kaedah. Apakah pembangunan negara dan pembinaan bangsa kita itu mesti diacuankan melalui bahasa asing, sebab bahasalah yang akan mencorakkan kehidupan kebudayaan bangsa pada masa depan.Dalam kes bantahan ini, soal semangat kebangsaan Melayu bukan isu yang ditimbulkan. Juga tidak ada pandangan yang menuduh mereka yang cintai BI itu bermakna kurang semangat nasionalisme. Apa yang dipertahankan oleh para pejuang dan pendidik adalah soal ilmu, betapa berkesannya kalau diajar dalam bahasa sendiri. Manakala kelemahan Bahasa Inggeris sebagaimana yang didakwa itu seharusnya diselesaikan melalui kaedah pengajaran dan pendidikan bahasa, bukan dalam melalui subjek yang lain. Anak-anak Inggeris, Australia, New Zealand atau di Amerika sekalipun, tidak semuanya pandai sains dan matematik walhal diajar dalam bahasa mereka sendiri. Maknanya antara tujuan memperoleh ilmu dengan menguasai bahasa ada perbezaan yang nyata. Bagi pejuang bahasa, jika pun PPSMI tidak gagal sekalipun, mungkin kita akan menemui kegagalan dalam mencorak tamadun bangsa dan tradisi keilmuan dalam bahasa sendiri.Pendidikan memang boleh dikaitkan dengan soal kebangsaan Malaysia atau citra kenegaraan sekira sistemnya berlandaskan peruntukan Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Setahu penulis tidak ada seorang pejuang bahasa pun menolak keperluan rakyat Malaysia terutama generasi muda mempelajari dan menguasai Bahasa Inggeris seperti dakwaan sesetengah pihak. Salah persepsi ini telah menjadi fitnah sejak awal abad ini terhadap mereka. Malahan para pejuang bahasa dan budaya menggesa agar anak-anak Malaysia perlu menguasai lebih daripada dua bahasa, sesuai dengan keperluan kita berkomunikasi dengan Asia Barat, Amerika Latin, Eropah dan Asia Timur. Belajar dan kuasailah selain BI, misalnya Bahasa Arab, Sepanyol, Jerman, Mandarin, Rusia mengikut keperluan. Jika kita mahu setaraf dengan bangsabangsa lain, maka kita patut belajar bahasa-bahasa utama dunia tanpa mengorbankan keperluan kita terhadap ilmu. Perancangan, strategi dan pendekatan hendaklah dilakukan secara tradisi ilmu dan mengikut kaedah linguistik. Kefasihan bertutur hanya akan dicapai melalui pembelajaran bahasa, kaedah amali dan cara pengajaran intensif. Jika pedagogi tidak berubah dan penekanan pembelajaran hanya tertumpu kepada keutamaan tata bahasa, maka penguasaan terhadap bahasa apa pun termasuk Bahasa Melayu tidak akan berjaya.Tujuan mempelajari bahasabahasa lain itu penting. Tetapi kaedahnya mestilah betul, ada sistem dan ilmu lingustiknya. Di China, Russia, Jerman, Perancis, Korea, Jepun dan di beberapa negara lain kini, para pelajar mereka ikut mempelajari bermacam bahasa termasuk Bahasa Melayu, tetapi demi untuk ilmu pengajaran dan pembelajaran tetap dijalankan dalam bahasa mereka. Mereka maju dalam acuan sendiri. Pernah sarjana antarabangsa dari pelbagai negara Eropah, Russia dan Asia-Ocenia menggelengkan kepala apabila Kerajaan mahu melaksanakan PPSMI ini. Persitiwa itu terjadi semasa penulis mempengerusikan Sidang Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) 2002.Bagi sesetengah cendekiawan, jalan yang kita pilih diumpamakan sebagai jalan songsang. Ilmu itu penting, tetapi kenapa pula dipilih bahasa asing mulai di peringkat rendah? Penguasaan bahasa sendiri pun entah ke mana. Kita rugi dalam dua perkara, pertama ilmu yang tidak diperoleh dan kedua, penguasaan bahasa yang kian kecundang, baik bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris. Kalaulah yang dikendung berciciran dan yang dikejar tak dapat, eloklah kita merenungi nya semula. Gagal atau jayanya ukuran UPSR tidak menjawab persoalan kelemahan penguasaan BI, sebaliknya memperagakan hasrat kita seolah-olah kemahuan kita memanglah terhadap BI sebagai alatnya.Apalah ertinya peruntukan dua tiga bilion ringgit yang dihabiskan sebagai kos yang ditanggung sejak tahun 2003 itu, kalau aspirasi pembinaan masa depan peradaban terkorban. Kalaulah kita tersalah bebat di mana tempat menanah, maka bebatlah ia semula. Kalaulah kita telah tersesat jalan, tidak salah pula kita kembali ke pangkal jalan. Penulis mengharapkan kepada Kerajaan agar kita bersama-sama memenuhi harapan sebagaimana disebut sebelum ini bahawa selain daripada kajian ke atas UPSR 2008, sebarang keputusan hala tuju PPSMI tidak dibuat berlandaskan emosi, persepsi andaian ataupun tuntutan pihak tertentu semata-mata tetapi berlandaskan fakta yang me rangkumi semua aspek mengenai pelaksanaan PPSMI itu. Tuntutan cendekiawan, kajian menyeluruh yang sudah ada, pandangan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) gerakan bahasa, tokoh politik, dan suara rakyat akar umbi seharusnya diberikan perhatian utama meskipun bertentangan dengan rancangan PPSMI itu.