Saturday, December 6, 2008

PENDIDIKAN DI RUMAH

Pendidikan di rumah
HOMESCHOOLING sepatutnya menyeronokkan dan tidak memberi tekanan kepada anak-anak.
PENDIDIKAN di rumah atau homeschooling merupakan satu kaedah menarik untuk berdampingan dengan anak. Pada masa yang sama, ia membantu membentuk keperibadian anak.
Selain itu, ia juga membolehkan anda merancang pendidikan mereka mengikut peribadi, gaya hidup dan kepercayaan anda.
Mengikuti program homeschooling turut memberi anda dan anak rasa selamat sementara peluang mengenali orang dan meneroka kawasan di sekeliling mereka.
Dengan membolehkan pendidikan anak disesuaikan mengikut faktor-faktor yang disebutkan, anda dan anak boleh membina pembelajaran sepanjang hayat.
Apakah langkah-langkah yang boleh diambil?
* Bersedia
Sedarlah bahawa anda perlu menghabiskan masa untuk anak setiap hari. Selaku penjaga rasmi kepada anak, anda dan suami perlu bertanggungjawab terhadap hala tuju, keperluan dan keterperincian jenis pendidikan yang dipilih. Ini adalah satu tanggungjawab yang tidak boleh diremehkan.
* Gaya pengajaran
Buat penilaian mengapa anda memilih homeschooling. Apakah definisi anda tentang pendidikan yang baik? Bagaimanakah gaya pembelajaran terbaik anak anda? Soalan-soalan ini boleh membantu anda menentukan pendekatan yang perlu diambil untuk mewujudkan suasana pembelajaran terbaik untuk anda dan anak. Antara kaedah homeschooling berbeza termasuk homeschooling klasik, pembelajaran mengikut unit, kaedah Charlotte Mason dan Montessori.
* Rancang kurikulum
Kepelbagaian bahan dan kaedah homeschooling sedia ada mungkin membuatkan ibu bapa pening kepala.
Anda boleh mendapatkan idea menerusi pelbagai sumber seperti perpustakaan atau kedai-kedai buku. Sumber-sumber ini menyediakan maklumat tentang keberkesanan jenis homeschooling, kurikulum dan pengalaman tenaga pengajar. Alternatif lain adalah menggunakan kemudahan Internet.
* Sokongan kumpulan
Anda boleh berkumpul dengan ahli-ahli organisasi atau kumpulan yang menyokong program ini.
* Pastikan kesediaan anak
Terangkan kepada anak tentang apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Homeschooling sepatutnya menyeronokkan dan tidak memberi anak-anak tekanan.
* Berikan masa untuk sesuaikan diri
Anak-anak yang lebih dewasa dan terpaksa meninggalkan sistem pendidikan standard bagi memberi laluan kepada homeschooling memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
* Rancang hari anda
Jika anda memilih untuk mempunyai suasana pendidikan homeschooling yang lebih formal, bersedialah mengumpul bahan-bahan atau buku teks yang diperlukan. Wujudkan sebuah bilik khas untuk mengukuhkan persekitaran pembelajaran.
* Kebun sebagai pendidikan
Pendidikan tidak semestinya sesuatu yang kompleks. Aktiviti seperti berkebun, memasak, menjahit, projek-projek bercirikan sains, mendaki bukit, menyayangi haiwan peliharaan atau membaiki peralatan rumah adalah contoh terbaik.
* Rekodkan setiap hasil kerja anak
Menyimpan hasil kerja anak adalah satu cara untuk menilai proses perkembangan anak.
* Nilai perkembangan anak
Penilaian ke atas perkembangan anak juga bermakna melihat bagaimana proses tersebut memberi kesan kepada ahli keluarga yang lain.

No comments: