Sunday, August 24, 2008

Nasib Bahasa Malaysia di Malaysia

Nasib Bahasa Malaysia di Malaysia
Anonymous
Berita harian 7/2/08
TAHUN Baru Cina yang diraikan hari ini dan esok pasti dinanti-nantikan masyarakat Tionghua tanpa mengira status mahupun usia kerana ia hari kebesaran mereka yang diraikan setahun sekali, tetapi memberi kejutan menusuk hati kepada penulis. Kejutan bukan kerana sesuatu bersifat peribadi berlaku, tetapi disebabkan paparan iklan yang mempamerkan kehebatan beberapa ketua pegawai eksekutif mewakili konglomerat masing-masing dalam menterjemah perpaduan penduduk pelbagai kaum negara ini. Atas nama perpaduan beberapa ketua pegawai eksekutif ini, tanpa mengira bangsa memberi ucapan sama ada dalam bahasa Inggeris atau Cina berkaitan perayaan terbabit sehingga seolah-olah penulis berasa berada di negara luar dan bukannya di Malaysia!
Semuanya ini kerana bahasa yang digunakan dalam iklan terbabit tidak mencerminkan hakikat bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara ini dan perkara terbabit tidak akan menimbulkan kejutan sekiranya berlaku di Singapura. Penulis boleh menerima iklan terbabit tanpa sebarang songeh, sekiranya berada di Singapura kerana negara jiran itu memperakukan bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil sebagai bahasa rasmi mereka, meskipun dari segi amalan penekanan lebih kepada bahasa Inggeris serta Mandarin. Alangkah moleknya, sekiranya iklan terbabit turut menyertakan ketua pegawai eksekutif syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia biarpun hanya seorang, turut menghulurkan ucapan perayaan terbabit dalam bahasa Melayu sebagai tanda menghormati Akta Bahasa Kebangsaan 1963.
Tidak dapat dipastikan sama ada konglomerat yang menaja iklan terbabit sedar dengan "penghinaan" secara terselindung ini atau agensi pengiklanan sengaja mengambil kesempatan melaksanakan agenda tersembunyi ini. Berkemungkinan sikap tolak ansur orang Melayu pada semua peringkat kedudukan termasuk orang politik, mendorong kelompok tertentu cuba bersikap biadap dengan cara memperlecehkan bahasa rasmi negara ini melalui iklan yang memberi pulangan lumayan kepada stesen televisyen swasta itu. Sebuah lagi iklan, juga pada waktu utama siaran bukan saja menidakkan kedudukan bahasa Melayu, tetapi juga melalui penampilan watak mewakili hanya dua kaum di negara ini dan melenyapkan kewujudan orang Melayu di bumi Malaysia. Amat menyedihkan iklan sedemikian mendapat tajaan daripada syarikat gergasi negara yang sepatutnya lebih peka akan sumbangan kecil mereka terhadap memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia selain kepada pembangunan ekonomi.
Sudah sampai masanya kerajaan mempertimbangkan peraturan tertentu bagi memelihara kedaulatan bahasa Melayu di semua stesen televisyen negara ini dengan menyerahkan perkara terbabit kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Penerangan. Malah, aspek penguatkuasaan berhubung perkara terbabit juga wajar diserahkan kepada kedua-dua kementerian terbabit yang pada masa ini hanya menyediakan garis panduan penyiaran dan kod kandungan. Peraturan sedia ada, Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan Premis Perniagaan di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula, tidak merangkumi iklan di televisyen manakala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tiada hak penguatkuasaan. Mungkinkah paparan iklan ini boleh ditafsir sebagai masih ada lagi segelintir rakyat Malaysia yang begitu malu jika berbahasa Melayu, meskipun hakikatnya mereka hidup aman dan meraih pulangan lumayan dalam bidang ekonomi di negara seribu rahmat ini. Apakah dalam menterjemah perpaduan negara, kita sanggup melakukan apa saja meskipun bahasa ini sudah membuktikan ia mampu melahirkan graduan dalam pelbagai bidang dan seorang anak didik bahasa kebangsaan, sudah pun menjejakkan kaki ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

No comments: