Sunday, September 7, 2008

Pengajaran Sains Pertanian di sekolah dikaji semula


PUTRAJAYA 2 Ogos - Kementerian Pelajaran akan mengkaji semula pengajaran mata pelajaran Sains Pertanian di sekolah supaya ia selari dengan keperluan negara.Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, mata pelajaran itu perlu diperkukuhkan sebagai menyahut langkah kerajaan untuk mempertingkatkan produktiviti pertanian negara.
''Memang ada sekolah yang menawarkan Sains Pertanian sebagai mata pelajaran bersama-sama beberapa mata pelajaran teknik dan vokasional.
''Kedudukan mata pelajaran ini akan dikaji semula," katanya pada majlis pelancaran program bumi hijau di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 8 (2) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Alimuddin berkata, sekolah-sekolah juga diminta mengaktifkan semula Kelab Sains Pertanian bagi menjalankan program bumi hijau di tanah lapang.
''Kementerian Pelajaran akan berbincang dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah supaya beliau boleh menaungi program bumi hijau di sekolah," katanya.
Menurutnya, sekolah yang mempunyai saiz tanah yang kecil juga boleh menjalankan program bumi hijau melalui kaedah penanaman hidroponik.
''Pelajar digalakkan menglibatkan diri dalam program bumi hijau kerana aktiviti seumpama ini bukan sahaja mendedahkan mereka tentang pertanian semata-mata tetapi juga ilmu sains dan pemasaran.
''Ia memberi manfaat kepada kerjaya masa depan pelajar serta membawa keuntungan kepada ekonomi negara kerana dapat mengurangkan import produk pertanian,'' katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan melakukan kajian bagi mengenal pasti peruntukan dan bantuan yang sesuai kepada sekolah untuk menjalankan program bumi hijau.
''Pihak sekolah pada masa yang sama digalakkan merapatkan hubungan dengan agensi seperti Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) untuk mendapatkan bantuan melaksanakan program ini," katanya.

No comments: