Thursday, October 16, 2008

guru wanita dakwa ditendang pelajar perempuan-berita harian

Guru wanita dakwa ditendang pelajar perempuan

KANGAR: Seorang guru wanita mendakwa ditendang di perut oleh seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua ketika dia sedang mengajar di sekolahnya di sini, hari ini. Azhana Ibrahim berkata, beliau diserang pelajar itu kira-kira jam 10 pagi berikutan tindakannya cuba mendapatkan penjelasan daripada pelajar itu tentang perkataan 'gila babi' yang tertulis di belakang satu folio yang diarahkannya. Pelajar itu bersama seorang lagi pelajar perempuan yang menemui guru itu memanggil rakan mereka selepas berlaku pertengkaran dengan guru itu.

Ketika semakin ramai rakan pelajar itu datang, guru berkenaan ditendang sebelum lari menyelamatkan diri. Guru itu kemudiannya membuat laporan polis di balai polis Kangar selepas waktu persekolahan pada tengah hari kerana bimbang diancam pelajar itu. Beliau yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai guru berkata, insiden itu adalah yang pertama ditempuhinya sepanjang perkhidmatannya.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Yusof Mohd Diah mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Sekolah itu mendapat perhatian ramai baru-baru ini apabila beberapa pelajar Islamnya terbabit mengiringi perarakan berhala sempena perayaan tokong sayur Buddha, di sini. - Bernama

No comments: